Peranan dan Tanggungjawab Pengurus Sekolah

Menurut Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.3/1987 berkenaan Penyediaan Pengajaran-Pembelajaran Di Dalam Kelas Oleh Pengetua/ Guru Besar sekolah menyatakan bahawa tugas dan fungsi Pengetua/Guru Besar sebagai pemimpin profesionalisme, pengurus dan pentadbir hari ini adalah berbagai-bagai. Sebagai pemimpin profesionalisme di sekolahnya, tanggungjawab utama seorang Pengetua/Guru Besar ialah untuk memastikan kejayaan pelaksanaan kurikulum di sekolahnya.
Pelaksanaan kurikulum dijalankan melalui proses dan aktiviti pengajaran-pembelajaran oleh guru-guru dan keberkesanan pelaksanaan kurikulum di sekolah memerlukan penyeliaan yang rapi dan sistematik dari pihak Pengetua/Guru Besar sekolah itu. Ini termasuklah penyeliaan pengajaran-pembelajaran terhadap guru di dalam kelas yang sepatutnya menjadi perkara yang diutamakan dalam senarai tugas dan tanggungjawab Pengetua/Guru Besar. Oleh itu dan dengan tujuan mempertingkatkan keberkesanan proses penyeliaan pengajaran-pembelajaran di dalam kelas adalah merupakan tugas yang amat penting.
Pelaksanaan kurikulum adalah unsur TERAS fungsi institusi persekolahan. Dengan itu perhatian yang lebih hendaklah diberikan kepada penyeliaan pengajaran-pembelajaran. Sebagai pemimpin profesionalisme di sekolah. Pengetua/Guru Besar adalah pelaksana utama kurikulum di sekolahnya. Oleh itu tugas penyeliaan pengajaran-pembelajaran adalah merupakan tugas terpenting yang perlu dititikberatkan. Penyeliaan adalah satu aspek terpenting dalam pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan pendidikan. Oleh itu penyeliaan tidak boleh dipisahkan dari peranan Pengetua/Guru Besar sebagai pengurus, pentadbir dan pemimpin profesionalisme di sekolahnya.

KENAIKAN PANGKAT DALAM PERKHIDMATAN PERGURUAN

Di dalam Perkhidmatan Perguruan terdapat tiga cara kenaikan pangkat iaitu:

1.1 Khas Untuk Penyandang (KUP)/ Time-Based.

Kenaikan pangkat secara Time-Based berasaskan kecemerlangan dilaksanakan tanpa kekosongan jawatan setelah PPPS/ PPPLD memenuhi tempoh perkhidmatan dan tahap kecemerlangan yang ditetapkan.

Syarat-syarat lain kenaikan pangkat ialah:

i. Mencapai tahap prestasi yang ditetapkan berdasarkan LNPT tiga tahun terakhir.

ii. Bebas daripada tindakan tatatertib.

iii. Telah mengisytiharkan harta.

iv. Lulus tapisan keutuhan SPRM

v. Bebas daripada senarai Peminjam Tegar Institusi Pinjaman Pendidikan

vi. Diperakukan oleh Ketua Jabatan

Kenaikan pangkat Guru Secara Time Based:

i. Guru ijazah gred DG41, hanya lapan tahun diperlukan untuk kenaikan ke gred DG44;

ii. Gred DG44 ke -DG48 (lapan tahun);

iii. DG48 ke DG52 (enam tahun)

iv. Gred DG52-DG54 (tiga tahun)

v. Gred DGA29, hanya lapan tahun diperlukan untuk naik ke gred DGA32

vi. Gred DGA32-DGA34 (lapan tahun)

vii. GredDGA34 ke DGA38 (lima tahun)

1.2 Secara Hakiki

Kenaikan pangkat berasaskan tempoh perkhidmatan yang ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran. Surat siaran berkenaan kenaikan pangkat Perkhidmatan Pelajaran akan dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran dan Pegawai Perkhidmatan Pelajaran yang memenuhi syarat perlu mengisi borang dan menghantarnya ke KPM untuk dinilai oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran.

1.3 Guru Cemerlang

Guru yang dilantik sebagai Guru Cemerlang adalah guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran, khususnya dari aspek perancangan, pengurusan dan pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah.

Kaedah kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) yang dikenali dengan Guru Cemerlang adalah untuk mengiktiraf khidmat guru yang cemerlang di bilik darjah dan mewujudkan peluang kenaikan pangkat secara laluan pantas (fast track) kepada mereka tanpa perlu ditukarkan ke jawatan pentadbiran secara hakiki.

DASAR KENAIKAN PANGKAT

Punca kuasa atau dasar dan peraturan kenaikan pangkat Perkhidmatan Pelajaran adalah berdasarkan:

1.1 Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam 1986/P.U.(A)151/186 (21 Ogos 1986)

1.2 Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran 2010 PU(A) 24/2010

1.3 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Perlantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005/P.U.(A) 176/2005 (1 Mei 2005)

1.4 Pekeliling Perkhidmatan Bil.4 Tahun 2002 – Pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia bagi Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan

Menurut Peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam 1986 menyatakan; "kenaikan pangkat" ertinya peningkatan secara hakiki dari satu Tingkatan ke suatu Tingkatan yang lebih tinggi dalam skim perkhidmatan pegawai yang berkenaan.

Manakala berdasarkan Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran 2010 menyatakan bahawa “kenaikan pangkat” ertinya peningkatan secara hakiki dari suatu gred ke suatu gred yang lebih tinggi dalam perkhidmatan dan skim perkhidmatan yang sama dengan kelulusan Lembaga; “Lembaga” ertinya Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran yang ditubuhkan di bawah peraturan 3 dan termasuk Lembaga Kenaikan Pangkat tambahan yang ditubuhkan di bawah peraturan 11 Perlembagaan Persekutuan.

Kuasa Lembaga berhubung dengan kenaikan pangkat ialah:

(1) Lembaga boleh menaikkan pangkat seseorang pegawai yang telah mematuhi kesemua syarat bagi kenaikan pangkat sebagaimana yang ditentukan dalam skim perkhidmatannya.

(2) Walau apa pun subperaturan (1) dan peraturan 38 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Perlantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005, Lembaga boleh untuk tidak mengambil kira syor daripada Ketua Jabatan atau Ketua Perkhidmatan untuk menaikkan pangkat seseorang pegawai sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Lembaga.

(3) Lembaga boleh menaikkan pangkat seseorang pegawai tanpa menjalani pemangkuan.

(4) Walau apa pun subperaturan (3), Lembaga boleh menghendaki seseorang pegawai supaya menjalani pemangkuan sebelum dipertimbangkan bagi kenaikan pagkat sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Lembaga.

Program Sayang Disayang PPKI

clip_image002
Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK 1 Tmn Selayang terdiri daripada kanak-kanak pelbagai kelainan upaya seperti Down Syndrome, Autisme, Hyperaktif, Dyslexsia, Slow Learner dan Cerebral Palsy (Spastik). Murid khas ataupun kanak-kanak istimewa ini merupakan sekumpulan murid kurang upaya dan mengalami masalah pembelajaran. Mereka juga memerlukan pendidikan dan perkhidmatan khusus bagi mempertingkatkan potensi dan kemajuan kendiri.
Program Sayang Disayang bertujuan untuk mendekatkan murid-murid PPKI dengan murid di arus perdana dan juga semua warga SK(1) Taman Selayang. Program ini juga merupakan salah satu program inklusif PPKI SK (1) Taman Selayang. Seramai 15 orang murid di arus perdana dan 15 orang murid PPKI telah terpilih bagi menjayakan program ini dengan bimbingan semua guru PPKI dan guru di arus perdana. Program ini merupakan program adik angkat antara murid PPKI dan murid Tahun 5 arus perdana yang akan dijalankan sepanjang tahun.
Dalam ucapan perasmian program ini, En Mohd Kamil bin Sadan (Guru Besar) berharap agar program ini dapat berjalan seperti yang telah dirancangkan dan meminta kerjasama semua pihak bagi menjayakan program sekolah ini. Melalui program ini juga, diharap dapat menyemai kasih sayang di kalangan guru dan murid disamping dapat memberi bimbingan yang berterusan secara individu kepada murid yang terlibat.
Melalui program Sayang Disayang ini juga akan dapat menyemai rasa kasih sayang di antara murid dan guru dan dapat memberikan pendedahan mengenai murid-murid khas yang sebelum ini hanya dipandang dari jauh.Ia juga dapat membantu murid-murid PPKI berkomunikasi dan mempunyai teman untuk bermain bersama-sama murid arus perdana. Disamping itu juga ia dapat memberi keyakinan diri dan motivasi kepada murid PPKI untuk berjaya dan memperoleh kekuatan untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam hidup.