Kreativiti & Inovasi

Menurut Kamus Dewan, perkataan inovasi merujuk kepada sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain. Elemen penting yang dikaitkan dengan inovasi adalah kreativiti.

Kreativiti ialah kombinasi di antara idea baru dan idea lama. Idea baru diperlukan dan idea lama dikaji dan dinilai semula. Ia juga proses melihat semula, memilih, menukar ganti, gabungan antara maklumat idea baru dan kemahiran.

Dalam organisasi sekolah, kreativiti dilihat sebagai suatu kuasa atau force yang penting bagi mencorakkan perkembangan kreativiti dalam pengurusan sekolah ( Abdul Rahim Abdul Rashid, 2002 ). Pengurusan sekolah perlu kreatif bagi menjadikan sekolah organisasi pembelajaran yang dinamis untuk mengembangkan pengetahuan baru, budaya saintifik, penyebaran teknologi maklumat dan pembangunan potensi manusia. Wawasan dan misi sekolah mesti bersifat kreatif bagi menjadikan sekolah organisasi pembelajaran yang berkesan dan progresif.

Tahun 2010 telah diisytihar oleh Kerajaan Malaysia sebagai Tahun Kreativiti dan Inovasi.Ianya adalah permulaan dan komitmen bersungguh-sungguh kerajaan dalam membudayakan inovasi sebagai cara hidup masyarakat. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Tahun Kreativiti dan Inovasi Malaysia di Pusat Konvensyen Putrajaya ( PICC ) pada 27 Januari 2010. Ketika mengumumkan Bajet 2010, Datuk Seri Najib telah menyatakan bahawa kewujudan satu model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan aktiviti tambah nilai yang akan menggandakan pendapatan per kapita rakyat dalam tempoh 10 tahun akan datang ( mStar Online, 26 Januari 2010 ).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berkata kakitangan awam perlu faham kepentingan inovasi. Kenyataan beliau mendapat liputan utama akhbar-akhbar tempatan. Beliau menegaskan bahawa sector awam tidak boleh mempunyai Nepoleon Kecil yang tidak memahami inovasi. Dalam sejarah Perancis, Napoleon terkenal sebagai pakar strategi perang sehingga berjaya menakluk banyak negara. Namun, keegoan dan nafsu untuk menjadi ‘orang besar’ menyebabkan Perancis dan Negara-negara yang ditakluknya musnah. Mengekang ego dan nafsu segelintir kakitangan awam yang ‘gila kuasa’ sehingga gagal memahami kepentingan inovasi dalam sector awam adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian serius ( Utusan Malaysia Online, 22/07/2010 ).

Komunikasi Guru Besar

Komunikasi adalah satu alat terpenting dalam pengurusan di sekolah bagi seorang guru besar. Setiap hari dan ketika akan berhadapan dengan manusia sama ada di dalam atau luar organisasi. Ianya tidak boleh dibuat anggapan bahawa komunikasi sebagai punca segala masalah terutamanya dari segi hubungan interpersonal. Guru besar harus peka terhadap masalah-masalah komunikasi disamping berusaha untuk memperbaiki kemahiran komunikasi. Sama ada sebagai satu alat, proses dan strategi, ketepatan komunikasi membolehkan sekolah menjalankan operasinya dengan licin dan sempurna. Oleh itu ianya tidak menyukarkan untuk mencapai visi, misi dan mtlamat yang dirancangkan.

Seseorang guru besar setiap hari akan berkomunikasi dengan setiap individu, kumpulan dan persekitaran. Oleh itu seseorang guru besar tidak dapat lari daripada mempunyai dan mengamalkan komunikasi yang dapat menuju kepada keberkesanan komunikasi. Guru besar sebagai pengurus harus memberi perhatian bukan sahaja kepada apa, bagaimana, bila dan di mana diucapkan tetapi juga apa yang tidak diperkatakan oleh seseorang itu. Dalam hal ini, komunikasi bukan sahaja sebagai perhubungan dua hala tetapi juga pelbagai hala. Sebagai seorang guru besar yang menyanjung tinggi dan melihat dengan penuh keyakinan terhadap pengurusan sumber manusia, komunikasi adalah aset termahal yang boleh digunakan untuk mencapai sesuatu matlamat yang berkesan dalam perhubungan sesama manusia. Amatlah diyakini bahawa kebolehan berkomunikasi dengan baik oleh seorang guru besar itu akan menjadikan ianya seorang pengurus yang berjaya dan dipandang mulia oleh organisasi sekolah, persekitaran dan masyarakat.

Cadangan Komunikasi Berkesan Di Sekolah

Kepentingan komunikasi dalam organisasi sekolah adalah amat tinggi kerana kejayaan sesebuah organisasi sekolah itu juga bergantung kepada kecekapan dalam sistem komunikasi. Oleh itu setiap individu di sekolah terutamanya guru besar perlu mempunyai matlamat komunikasi antaranya:

1. Hantar maklumat dengan tepat.

2. Menyusun maklumat dengan tepat.

3. Menggalakkan maklum balas.

4. Mendengar dengan tekun dan teliti.

5. Memberi penyampaian lisan dengan cekap.

6. Mengurangkan halangan komunikasi.

7. Penyampaian perlu mendapat kepercayaan daripada pendengar.

8. Menyesuaikan diri dengan perlakuan dan latar belakang.

9. Mesej yang hendak disampaikan adalah perkara yang benar.

10. Mengambil bahagian dengan cekap dalam jawatan kuasa.

11. Penyampai mesej hendaklah memahami keupayaan penerima mesej.

12. Perkataan yang hendak digunakan dapat memberi penjelasan yang sebenar.

Rintangan Komunikasi Di Sekolah

Organisasi sekolah merupakan satu sistem pengurusan yang aliran tugas saling bergantung dan saling bertindih antara satu sama lain. Struktur organisasi di sekolah sering dikaitkan dengan organisasi jabatan pelajaran dan pejabat pelajaran daerah. Dalam hal ini, sekolah boleh dianggap mempunyai satu sistem komunikasi yang kompleks. Kebiasaannya komunikasi yang disampaikan, arahan, kehendak dan perintah sering berkaitan dengan kehendak pihak atasan.

Di dalam komunikasi, kita tidak dapat lari daripada menghadapi beberapa halangan dan rintangan yang sering menganggu keberkesanan atau ketepatan mesej yang hendak disampaikan. Halangan dan rintangan adalah merupakan penyebab gangguan dan kekeliruan di dalam proses komunikasi. Rintangan dan halangan komunikasi yang sering dialami di sekolah ialah semasa mengadakan mesyuarat. Di antara rintangan dan halangan tersebut ialah :

1. Pengaruh atau kesan status; kedudukan guru besar yang tinggi dalam carta organisasi pentadbiran di sekolah menyebabkan banyak bercakap daripada mendengar. Keadaan ini sering berlaku guru besar memberi idea dan komunikasi satu hala. Perbezaan status ini menyebabkan berlakunya komunikasi yang kurang berkesan. Orang bawahan sering menyembunyikan hal-hal sebenar apabila berdepan dengan guru besar kerana takut kepada hukuman atau tindakan yang boleh menjejaskan sebagai penjawat awam. Akibatnya maklumat yang disampaikan tidak tepat dan mempengaruhi keputusan guru besar.

2. Bahasa yang digunakan oleh pentadbir sekolah tidak jelas seperti penghantaran mesej dengan menggunakan perkataan atau istilah yang susah dan sukar difahami. Sering berlaku perbezaan pentafsiran oleh orang bawahan terhadap maklumat yang disampaikan oleh guru besar. Keadaan ini boleh menimbulkan pelbagai konflik kepada guru-guru dan kakitangan sekolah. Oleh itu guru besar mesti menyampaikan mesej dengan tepat dan jelas supaya dapat difahami oleh semua orang secara serentak dan mencegah daripada berlakunya kebocoran dan ketinggalan mesej atau maklumat.

3. Salah tanggapan yang berbeza disebabkan perbezaan latar belakang dan pengalaman. Di dalam organisasisekolah terdapat individu yang berasal dari sosiobudaya dan pengalaman mengajar yang berbeza. Ini menyebabkan guru-guru dan kakitangan sekolah akan melihat dan mentafsir sesuatu secara berbeza-beza. Semakin besar perbezaan latar belakang seseorang itu, berkemungkinan lebih banyak berlaku salah faham dan salah tafsir maklumat yang diterima.

Rintangan Komunikasi Di Sekolah- sambungan

4. Tindak balas emosi seperti perasaan marah, benci, cemburu, takut dan malu yang boleh mempengaruhi komunikasi. Setiap individu di sekolah sering diliat mempunyai tanggungjawab dan tugas yang berbeza. Terdapat guru yang diperturunkan kuasa untuk menyelia dan mengarah guru lain dalam menjalankan aktiviti atau tugasan. Kadang-kadang terdapat juga guru-guru yang diberi hak dan keistimewaan dalam organisasi sekolah. Perhubungan dan persahabatan yang amat baik juga sering mempengaruhi keberkesanan komunikasi di sekolah. Semua kekangan ini menyebabkan kepercayaan antara guru-guru dan guru besar boleh menjadi halangan dan membantutkan kearah komunikasi yang berkesan.

5. Kedapatan guru besar menyampaikan komunikasi melalui pergerakan badan, tangan, memek muka dan air muka yang boleh menyebabkan para guru dan kakitangan tidak memahami maksudnya.

6. Kecurigaan terhadap mesej dan penghantar mesej kerana hubungan ahli-ahli dalam organisasi sentiasa berlaku perubahan disebabkan pertukaran guru, kenaikan pangkat guru dan pengantian guru yang berlaku sepanjang tahun. Ianya amat dirasai jika pengganti itu melibatkan untuk sementara waktu sahaja seperti menggantikan guru yang bersalin dan berkursus.

7. Ketiadaan maklumbalas disebabkan komunikasi satu hala di antara guru besar dan guru serta kakitangan. Lebih memburukkan lagi keadaan jika seseorang guru besar iu bersifat garang dan ditakuti guru. Ianya akan membuahkan hasil salah tafsir maklumat berlaku dan boleh menyebabkan konflik antara pihak yang terlibat.