Menurut Kamus Dewan, perkataan inovasi merujuk kepada sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain. Elemen penting yang dikaitkan dengan inovasi adalah kreativiti.
Kreativiti ialah kombinasi di antara idea baru dan idea lama. Idea baru diperlukan dan idea lama dikaji dan dinilai semula. Ia juga proses melihat semula, memilih, menukar ganti, gabungan antara maklumat idea baru dan kemahiran.
Dalam organisasi sekolah, kreativiti dilihat sebagai suatu kuasa atau force yang penting bagi mencorakkan perkembangan kreativiti dalam pengurusan sekolah ( Abdul Rahim Abdul Rashid, 2002 ). Pengurusan sekolah perlu kreatif bagi menjadikan sekolah organisasi pembelajaran yang dinamis untuk mengembangkan pengetahuan baru, budaya saintifik, penyebaran teknologi maklumat dan pembangunan potensi manusia. Wawasan dan misi sekolah mesti bersifat kreatif bagi menjadikan sekolah organisasi pembelajaran yang berkesan dan progresif.
Tahun 2010 telah diisytihar oleh Kerajaan Malaysia sebagai Tahun Kreativiti dan Inovasi.Ianya adalah permulaan dan komitmen bersungguh-sungguh kerajaan dalam membudayakan inovasi sebagai cara hidup masyarakat. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Tahun Kreativiti dan Inovasi Malaysia di Pusat Konvensyen Putrajaya ( PICC ) pada 27 Januari 2010. Ketika mengumumkan Bajet 2010, Datuk Seri Najib telah menyatakan bahawa kewujudan satu model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan aktiviti tambah nilai yang akan menggandakan pendapatan per kapita rakyat dalam tempoh 10 tahun akan datang ( mStar Online, 26 Januari 2010 ).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berkata kakitangan awam perlu faham kepentingan inovasi. Kenyataan beliau mendapat liputan utama akhbar-akhbar tempatan. Beliau menegaskan bahawa sector awam tidak boleh mempunyai Nepoleon Kecil yang tidak memahami inovasi. Dalam sejarah Perancis, Napoleon terkenal sebagai pakar strategi perang sehingga berjaya menakluk banyak negara. Namun, keegoan dan nafsu untuk menjadi ‘orang besar’ menyebabkan Perancis dan Negara-negara yang ditakluknya musnah. Mengekang ego dan nafsu segelintir kakitangan awam yang ‘gila kuasa’ sehingga gagal memahami kepentingan inovasi dalam sector awam adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian serius ( Utusan Malaysia Online, 22/07/2010 ).